eZZivYeiNna pH

CYbeRSaFe

Jumaat, 3 September 2010

PESTA JAGUNG






PESTA Jagung yang disambut setiap tahun di daerah yang terletak di utara Negeri Bawah Bayu ini sentiasa mendapat sambutan dari mereka yang tinggal sekitar daerah ini mahupun dari daerah-daerah yang berdekatan seperti Pitas, Matunggong, Kudat dan Pulau Banggi.
Pesta ini juga tidak kurang mendapat tarikan pengunjung dari daerah Kota Belud, Tuaran, Kota Kinabalu, Brunei Darussalam, Kuala Lumpur dan Singapura.
Keunikan tersendiri Kota Marudu bukan sahaja terkenal dengan hasil keluaran pelbagai tanaman kontan, sawit, getah, kelapa dan satu ketika dahulu kayu balak tetapi sehingga kini jagung menjadi satu ladang industri yang bakal mencipta rekod sebagai sebuah daerah yang terkenal mengeluarkan produk pelbagai jenis yang dihasilkan dari jagung
Tahun ini, perayaan Pesta Jagung disambut secara sederhana memandangkan keadaan cuaca yang tidak menentu, bagaimanapun sambutan perayaan tahun ini menyimpan sejarah yang amat bermakna terutamanya kepada suku kaum Tobilung melalui Persatuan Tobilung Sabah (Pabisa). Ini kerana mereka mengambil kesempatan melalui sambutan perayaan kali ini dengan membakar 5,000 tongkol jagung sejauh 300 meter iaitu mengelilingi padang Majlis Daerah Kota Marudu. Kejayaan mereka ini dimasukkan dalam Acara Mencipta Rekod Malaysia.
Tahun ini juga jumlah kasar pengunjung dianggarkan sekitar lebih 10,000 orang berbanding tahun sebelumnya melebihi 20,000, bagaimanapun acara perisian sambutan sama seperti tahun-tahun sebelumnya.
Pesta Jagung 2009 diadakan selama dua hari dua malam, 147 gerai pameran yang berdaftar dan hampir 10 yang tidak berdaftar turut mengambil bahagian dalam pameran dan jualan barangan. Salah satu gerai pameran yang terbesar dan menarik perhatian umum ialah gerai Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi ( Mosti )

Gerai Mosti mempamerkan pelbagai produk jagung, alat memproses jagung, penjualan benih-benih jagung manis, jagung madu, pameran tentang infomosti (internet) selain itu yang paling utama sekali Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuka kaunter untuk orang ramai yang berusia 21 tahun ke atas dan warganegara Malaysia belum mendaftar sebagai pemilih/pengundi dan semakan terkini daftar pemilih terkini

Ketika berucap merasmikan sambutan Perayaan Pesta Jagung 2009 Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia merangkap Ahli Parlimen Kota Marudu, Datuk Seri Dr. Maximus J. Ongkili, berkata dengan adanya sambutan perayaan yang dianjurkan setiap tahun ia menjadi kesedaran kepada masyarakat daerah ini untuk terus berusaha menambahkan sumber pendapatan rezeki melalui produk ini
Katanya, dengan adanya sambutan Pesta Jagung ini juga, daerah ini akan menjadi lebih tersohor dan setanding dengan daerah-daerah lain yang mempunyai acara serta produk keluaran tersendiri selain mempromosikan daerah ini kepada pelancong dalam dan luar negeri
Beliau menyeru kepada masyarakat tani daerah ini khasnya supaya mengusahakan tanah-tanah terbiar di kawasan masing-masing dengan menanam pelbagai jenis tanaman selain jagung sesuai dengan tema pesta jagung tahun ini ‘Jagung Untuk Semua.’
Terdahulu Pegawai Daerah Kota Marudu, Lovita Koisun berkata sepanjang dua hari pesta itu berlangsung pelbagai aktiviti diadakan seperti, pertandingan inovatif anjuran Mosti dan penganjur sendiri iaitu, pertandingan mencipta alat menangkap ikan secara kreatif dari buluh/bambu, pertandingan mencipta tukun tiruan yang kreatif dari bahan-bahan terbuang, pertandingan kaedah mengatasi ancaman burung pipit di sawah padi, acara membakar 5,000 tongkol jagung dan pertandingan makan jagung.
Lovita yang juga pengerusi penganjur Pesta Jagung 2009 menambah dengan adanya acara-acara itu ia dapat membantu mempromosikan daerah ini sebagai pusat pelancongan yang terkemuka di masa akan datang.
Katanya, jagung boleh menambahkan sumber pendapatan sara hidup dan yang terkini percubaan penanaman jagung jenis summer sweet dari Taiwan telah dilakukan oleh Al Cosmos Industeries Sdn Bhd di FTC Damai Kota Marudu. Penuaian jagung jenis ini telah disempurnakan oleh Datuk Maximus minggu lalu berikutan dalam Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) diantara Al Cosmos Industri dengan Jabatan Pertanian Negeri Sabah.
Turut hadir di majlis perasmian itu, Adun Tandek Anita Baranting, Adun Matunggong, Sarapin Magana, Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri Datuk Radin Maleh, pegawai dan kakitangan kerajaan Negeri/Persekutuan serta swasta, pegawai dan kakitangan Mosti termasuk Angkasawan Negara Dr. Faiz.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan